Anuar Zain Merajuk Lagu Tidak Dilayan Pihak Radio
Siapa yang tidak kenal dengan figura terkenal ini, telah dikenali sebagai antara penyanyi lelaki yang paling disanjungi di Malaysia. Kemunculannya sentiasa dinantikan peminat-peminat beliau. Namun selepas 30 tahun menceburi bidang seni dengan kejayaannya tersendiri, penyanyi ini meluahkan rasa kesal dan kecewa dengan trend yang berlaku dalam indusri hiburan Malaysia kini.
Penyanyi yang sudah tiga kali merangkul anugerah Vokal Terbaik Lelaki di Anugerah Industri Muzik ini tampil menyatakan rasa ketidakpuasan hatinya. Beliau mendakwa pihak radio seperti tidak melayan karyanya kerana tidak memainkan lagu-lagu daripada album terbarunya.
Anuar Zain sudah tidak mahu hanya menjadi pemerhati. Beliau mengatakan selama ini hanya mendengar rintihan rakan-rakan artis dengan keadaan ini namun hanya membisu. Tetapi tidak kali ini kerana beliau mahu membangkit pertahankan hak sebagai insan seni yang berjuang kerana minat dan cintanya terhadap bidang nyanyian.
Tegasnya, jangan dipersalahkan peminat atau penyanyi itu sendiri sedangkan pihak radio tidak memberi kerjasama yang sepatutnya. Hasilnya kini lambakan karya daripada pihak luar dalam pasaran muzik tempatan Malaysia. Tambahnya lagi, beliau sudah hampir empat tahun tidak mendengar radio kerana mendapati tiada kepelbagaian kerana muzik yang dimainkan hanya fokus untuk menaikkan populariti sesetengah genre sahaja.
Dakwaan Anuar ini ada tepatnya. Tiada siapa dapat menyangkal hakikat tersebut. Namun beberapa orang kuat radio tempatan telah memberi kenyataan yang menyangkal dakwaan pilih kasih tersebut. Kelihatannya masing-masing mempertahankan dasar polisi radio mereka dan sekeras-kerasnya mendakwa apa yang dikatakan Anuar itu seolah-0lah tidak berasas. Mereka mengatakan lagu-lagu yang dimainkan di radio adalah berdasarkan permintaan pendengar.
Namun situasi ini berjaya membuka mata ramai pihak bahawa keluhan artis-artis tempatan terhadap fenomena pilih kasih ini ada benarnya. Janganlah dianaktirikan usaha anak seni tempatan kita sendiri yang gigih berjuang memartabatkan industri seni ini. Kalau dikatakan tiada permintaan daripada pendengar mana mungkin lagu-lagu Anuar sering menjadi hit. Lihat sahaja rekod lagu-lagu seperti Keabadian Cinta, Ketulusan Hati dan yang terbaru Sedetik Lebih yang menjadi pilihan peminat.
oleh : Izz Latif










